Wednesday, 24 September 2014

APA ITU INTEGRITI



Apa itu integriti? Di mana-mana sahaja sering dibualkan tentang kurangnya integriti di kalangan orang ramai, pekerja di sektor awam dan swasta, organisasi hatta mereka di kampung juga tidak terkecuali. Masing-masing sibuk bercakap tentang integriti. Jadi apakah maksud sebenar integriti ini?

Secara ringkasnya, integriti boleh dibincangkan kepada dua bahagian iaitu, pertama bersabit dengan individu; kedua integriti di peringkat organisasi. Namun begitu, pada umumnya integriti merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud di kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi.

Di peringkat individu, integriti ialah keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Sementara itu di peringkat organisasi tercermin dalam perumusan dan perlaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi (corporate culture).

Secara idealnya integriti sama ada di peringkat individu ataupun organisasi bermaksud 'code of behavior'. Jika semua orang melaksanakan kod ini dengan baik mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh agama dan masyarakat bertamadun, nescaya sebuah masyarakat atau negara itu akan maju dan bertamadun. Soalnya, mengapa integriti ini sukar dicapai?

Terdapat banyak kes yang menjadi bukti mengapa integriti sukar dicapai malah masalah tiada integriti masih menjadi masalah utama kepada negara. Kita sering mendengar bagaimana seorang penjawat awam mahupun swasta menerima rasuah untuk memudahkan sesuatu proses yang melibatkan kepentingan umum. Rasuah untuk mendapatkan tender, rasuah untuk memotong barisan, rasuah untuk mengelak dari dikenakan hukuman dan macam-macam lagi. Pada satu tahap amalan tidak berintegriti seperti memberi dan menerima rasuah ini, seakan-akan sudah menjadi sebahagian dari budaya yang diamalkan oleh sebilangan ahli masyarakat.

Sebenarnya, kita tidak perlu melihat terlalu jauh atau besar tentang masalah tiadanya integriti. Tidak perlu sangat untuk kita bincang bagaimana rasuah telah menjadi barah kepada si polan itu atau si polan ini. Sebelum kita membincangkan tentang masalah integriti di kalangan orang lain, elok kita halusi diri kita sendiri. Dalam masa 24 jam, berapa kali kita mandi sehari, berapa kali kita memberus gigi, membersihkan bilik tidur, melakukan ibadat, membaca buku, menyiapkan tugasan, bertanya khabar ibu bapa, sahabat, rakan, dan macam-macam perkara lain yang kita anggap remeh. Anda tahu jawapannya.

Secara ringkasnya, integriti ini merujuk kepada cara kita bertingkah laku. Apakah tujuan kita melakukan itu dan ini? Bagaimana dengan niatnya? dan lebih penting ialah cara atau kaedah untuk mencapai tujuan dan niat itu mestilah dilakukan dengan betul. Maksud betul ialah mengikut ajaran agama dan mematuhi undang-undang.


APA ITU RASUAH ??


Definisi rasuah (bahasa Latin: corruptio daripada kata kerja corrumpere = busuk, rosak, menggoyahkan, memutar balik, menyogok) menurut Transparency International ialah perilaku di jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat awam, termasuklah para politikus dan pegawai-pegawai, yang secara tidak wajar dan tidak sah/menurut undang-undang, mengayakan diri atau memperkaya kerabatnya (keluarga dan sahabat handai), dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan awam yang diberi kepada mereka.
Dari sudut undang-undang, perbuatan rasuah mencakupi:
·         melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan.
·         penyalahgunaan harta negara.
·         merugikan negara
·         memperkaya diri sendiri dan kerabat.
Dalam skop yang luas, rasuah "politik" bermaksud penyalahgunaan jawatan awam untuk kepentingan peribadi. Semua bentuk pemerintahan dan organisasi pasti terdapat perilaku rasuah, sama ada sedar atau tidak. Cuma berat (kes) berbeza-beza: daripada yang paling ringan dalam bentuk penggunaan pengaruh dan sokongan untuk memberi dan menerima pertolongan, hingga kepada rasuah yang sudah dianggap satu "prosedur rasmi", dan sebagainya. Kemuncak segala rasuah ialah satu keadaan yang digelar kleptokrasi, yang erti harfiahnya pemerintahan oleh para pencuri; iaitu berpura-pura bertindak jujur pun tidak ada sama sekali!
Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:
·         Meminta/Menerima Rasuah
·         Menawar/Memberi Rasuah
·         Membuat Tuntutan Palsu
·         Menyalahguna Jawatan/Kedudukan
Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa. Rasuah di kalangan penguatkuasa adalah perkara biasa di kebanyakan negara pengeluar petroleum dan negara miskin terutamanya di Amerika Latin.
Rasuah yang wujud dalam bidang politik dan pentadbiran/birokrasi mungkin berbentuk sama ada ringan atau berat, terancang atau tidak. Rasuah tidak sekadar memudahkan atau menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, dan penyeludupan. Kesannya lebih meluas lagi. Untuk memahami masalah ini dan mencari rumusannya, sangat penting untuk membezakan antara rasuah dengan perilaku jenayah (dalam erti kata yang lebih luas)
Sama ada sesuatu hal/perilaku dianggap rasuah atau tidak bergantung pada praktik undang-undang di negara/wilayah berkenaan. Contohnya, pendanaan parti politik untuk pilihan raya dianggap satu bentuk rasuah di negara/wilayah tertentu tapi dianggap legal di tempat tertentu lain.




"BUAT SESUATU YANG BETUL WALAUPUN TIADA ORANG LAIN YANG NAMPAK"

RUJUKAN

http://blogapakahitu.blogspot.com/2012/11/apa-itu-integriti-maksud-integriti.html

http://ms.wikipedia.org/wiki/Rasuah

http://www.youtube.com/watch?v=ZvU5CPNFW2A

http://idaman78.blogspot.com/2011_11_05_archive.html

http://mutiaraislam.wordpress.com/2009/12/22/minda-penerbit-siri-ke-29/





No comments:

Post a Comment